Mengenai Kita

Nama : Raymond Kong Chu Ching & Prateepan A/L Rajadran

Kumpulan 5 GSB1012

Kesantunan Masyarakat Malaysia

IPG Kampus Pulau Pinang

Pensyarah : Encik Abdul Latib b Abdul Rahman

Masa itu emas


Powered by Blogger.

Kata hikmat

Yang meninggikan darjat seseorang ialah akal dan adabnya, bukan asal keturunannya. -Aristotle

Blog contributors

Featured Posts

Friday, September 20, 2013
Kuliah 4: Penjagaan Muka Sebagai Asas Kesantunan


Konsep Kesantunan

• Perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi (Lakoff, 1975:64)

• Usaha mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa konflik (Fraser dan Nolan, 1981:96)

• Perlakuan yang mewujudkan pengiktirafan diri dalam sesuatu interaksi sosial (Leech, 1983:104)

• Kesantunan diukur berdasarkan penggunaan kata-kata dan perlakuan seseorang individu


Konsep Penjagaan Muka Sebagai Asas Kesantunan


• Muka dalam masyarakat Melayu merujuk kepada air muka (Asmah, 2000:101)

• Muka sangat berkait rapat dengan maruah diri sehingga tercipta pelbagai peribahasa yang berkaitan dengan muka.

• Antara peribahasa tersebut ialah, "muka tembok", "muka tarpal", "muka sengkalan","muka bantal" atau "muka papan" yang kesemuanya ditujukan kepada seseorang yang tidak tahu malu (Mohd Tajuddin Haji Abd Rahman,1999:149).

• Penciptaan peribahasa yang banyak itu mempunyai satu makna menunjukkan bahawa orang Melayu sangat mementingkan "malu" dan "air muka".

• Malu dapat fahami sebagai suatu nilai suci dan murni yang menjadi asas kepercayaan yang diterima sebagai mutlak dan luhur yang merupakan maruah bangsa (Mohamed Mansor Abdullah, 1993:249).

•Menurut Islam, malu ialah perasaan yang mendesak seseorang supaya menghindarkan segala yang keji dan melaksanakan segala yang terpuji.

• Konsep malu dalam masyarakat Melayu begitu luas serta menjadi asas didikan anak-anak.

• Menurut Zainal Kling (1980), konsep malu itu meliputi pelbagai segi pengertian termasuklah yang paling tinggi yang berkaitan dengan akhlak dan maruah individu, keluarga, dan masyarakatnya.

•Seseorang perlu mengelakkan dirinya daripada menerima malu atau memberi malu kepada orang lain

• Orang yang menerima malu, lazimnya akan berasa tertekan dan mudah hilang pertimbangan

• Dalam hikayat sastera klasik, terdapat beberapa peristiwa peperangan, pergaduhan, pembunuhan, dan amuk yang berlaku disebabkan seseorang itu dimalukan

• Contohnya balas dendam Jebat ke atas Sultan Melaka kerana telah memalukan Tuah yang dijatuhi hukuman bunuh kerana dituduh bermukah (zina) dengan perempuan istana.

•Dalam masyarakat Melayu, malu itu bukan sahaja melibatkan perasaan sendiri bahkan sesuatu tindakan kita boleh juga memalukan keluarga dan masyarakat.

• Oleh itu, lahirlah peribahasa "menconteng arang di muka" yang bermaksud sesuatu perlakuan yang mendatangkan malu dan aib kepada keluarga.

• Antaranya sesuatu tindakan yang terkeluar daripada kehendak dan norma masyarakat, seperti seorang gadis "kahwin lari", maka tindakannya dikatakan tindakan yang tidak santun kerana telah melanggar adat masyarakatnya.

•Anggota masyarakat yang sanggup memalukan diri sendiri dan ahli keluarganya dianggap tidak bermaruah.


• Maruah dan harga diri seseorang perlu dijaga dengan berpegang kuat pada konsep malu (penjagaan air muka)

•Konsep malu dalam masyarakat Melayu adalah bertujuan untuk menjaga maruah dan air muka.

• Malu juga boleh berpunca daripada penggunaan bahasa.

• Sewaktu berinteraksi, orang Melayu ditegah sama sekali menghina dan merendah-rendahkan peribadi seseorang

• Perkataan yang keluar dari bibir hendaklah santun, tidak mengandungi unsur-unsur yang memalukan diri, keluarga dan pihak lain walaupun sewaktu menyatakan sesuatu yang benar.

• Mulut ialah salah satu anggota yang sangat perlu dijaga memandangkan mulut merupakan bahagian anggota yang mengungkapkan kata dan anggota yang paling hampir dengan muka

•Mulut boleh mendatangkan malu kepada diri sendiri dan orang lain.

•Oleh itu, penggunaan mulut pada setiap hari perlu dikawal dan orang Melayu sangat memberatkan perkara ini.

•Ini jelas dengan penciptaan peribahasa seperti "kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa".

• Orang Melayu juga tidak boleh menerima orang yang menggunakan mulutnya untuk menyampai-nyampaikan cerita orang lain daripada seorang kepada seorang yang lain sehingga dia dikatakan seperti "mulut tempayan".

• Percakapan seseorang juga tidak boleh berlebih-lebih kerana ini boleh menimbulkan kebosanan orang lain terhadapnya sehingga dianggap seperti "mulut murai".

• Orang Melayu juga memberatkan penggunaan lidah kerana lidahlah yang membentuk kata-kata

• Penjagaan lidah sama penting dengan penjagaan mulut kerana itu ada peribahasa yang berkaitan dengan lidah yang buruk seperti "lidah bercabang", "lidah buaya'', "lidah tidak bertulang"

•Namun, sekiranya lidah itu digunakan secara positif (santun), maka dikata "lidah manis" dan "lidah pendita" (Mohd Tajuddin Haji Abd Rahman, 1999:127).

• Dalam membincangkan tugas mulut dan lidah, kita tidak boleh mengabaikan soal hati.

• lni adalah kerana hatilah yang mendorong sesuatu ungkapan yang ditugaskan kepada lidah dan mulut.

• Oleh itu, kata-kata menggambarkan hati.

• Hati yang baik akan mengungkapkan bahasa yang santun dan sebaliknya.


• Perkara ini ada disebut oleh Raja Ali Haji (2000:8) di dalam gurindamnya seperti yang berikut:

"Apabila terpelihara lidah,

Nescaya dapat daripadanya faedah"


• Manakala mengenai hati pula, Raja Ali Haji seterusnya berkata:

"Hati itu kerajaan di dalam tubuh,

jikalau zalim, segala anggota pun roboh. "

0 comments: